Pengisytiharan Pengagihan Pendapatan Interim Pertama SAS Untuk Tahun 2019

PENGISYTIHARAN PENGAGIHAN PENDAPATAN INTERIM PERTAMA SAHAM AMANAH SABAH UNTUK TAHUN 2019

OLEH

YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL, KETUA MENTERI SABAH

PADA 10HB SEPTEMBER 2019.

___________________________________________________________________________________________________

 

Sukacita saya mengumumkan bahawa Saham Amanah Sabah (SAS) telah berjaya memperolehi pendapatan kasar sejumlah RM36,017,587 setakat 6hb September 2019. Selaras dengan pencapaian ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Pengagihan Pendapatan Interim Pertama SAS untuk tahun 2019 pada kadar 2.40% atau 2.40 sen se unit bersih.  Jumlah ini menghasilkan kadar pulangan pendapatan sebanyak 7.41% berdasarkan Nilai Aset Bersih SAS pada 2hb Januari 2019, iaitu RM0.3240 dengan membabitkan pembayaran wang tunai sejumlah RM29,552,976  bersih berdasarkan kepada bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh para pelabur sebanyak 1,231,374,000 pada 6hb September  2019.

 

Pendapatan ini adalah diperolehi  daripada sumber berikut: –

 

  • Pelaburan SAS dalam Pasaran Saham – 60% ;
  • Penerimaan Dividen – 04%; dan
  • Pasaran Kewangan – 36%

 

Prestasi positif ini tercapai disebabkan oleh pengurusan kewangan yang berhemah dan mengamalkan strategi pelaburan yang betul. Walaupun persekitaran pelaburan yang mencabar dengan pertumbuhan sederhana serta prestasi pasaran global dan domestik yang terjejas, kami berpuas hati kerana dapat terus mengekalkan pulangan kepada pemegang unit SAS.

Pengagihan Pendapatan interim ini akan dibayar kepada 50,264 pelabur terdiri daripada 42,746 (85.04%) pelabur individu, 7,317 (14.56%) pelabur di bawah skim Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), 151 (0.30%) adalah pelabur melalui pinjaman bank dan 50 (0.10%) pelabur korporat.

 

Selama beroperasi dua puluh lima (25) tahun, termasuk pengagihan pendapatan ini, SAS telah mengagihkan pendapatan tunai sebanyak      22 kali yang melibatkan pembayaran sejumlah RM643,231,647  atau 90.57 sen se unit atau 90.57 % termasuk satu pengagihan  berbentuk unit pelaburan semula pada kadar 0.40 sen se unit (0.40%).

 

Saham Sabah Berhad selaku pengurus Skim SAS akan terus berusaha untuk menjana pulangan yang berpatutan selaras dengan objektif pelaburannya.

 

Akhir kata, saya ingin menjemput bakal-bakal pelabur dan pelabur sedia ada terutamanya Agensi Kerajaan Negeri yang mempunyai kecairan untuk melabur, tampil ke hadapan memandangkan masih ada lagi unit SAS yang boleh dilanggan.

 

Sekian terima kasih

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *